Tuesday, February 2, 2010

Kempen Memakai Jaket Keselamatan


Di dalam perhimpunan mingguan hari ini pelajar-pelajar di "demo"kan dengan pemakaian jaket keselamatan. Walaupun tujuan utamanya untuk memberi peringatan kepada pelajar-pelajar yang tinggal di seberang sungai perak, namun semua pelajar juga dapat melihat cara pemakaian jaket keselamatan yang betul dan sepatutnya.


Diharap pelajar yang menyeberang sungai perak setiap hari untuk ke sekolah akan menggunakan jaket yang dibekalkan ini. Sesungguhnya pihak kementerian telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan jaket ini kepada pelajar-pelajar. Kita tak mahu perkara yang tak diingini berlaku kepada para pelajar setelah nasihat dan tunjuk ajar cara pemakaiannya dilakukan.....

Nasihat Pegawai Perhubungan Sekolah


Hari ini pegawai perhubungan sekolah (polis) hadir dan memberi ucapan di hadapan pelajar-pelajar dan guru-guru. Beliau dijemput khas bagi menasihati para pelajar mengenai keselamatan dan jenayah di perhimpunan mingguan sekolah.


Sepanjang ucapan beliau, saya dapati banyak nasihat yang berguna telah disampaikan. Beliau mengatakan sekolah ini bukanlah sebuah sekolah yang bermasalah. Bagaimanapun pada bulan Januari 2010 dua siasatan polis telah dibuat terhadap salahlaku pelajar sekolah ini.


"Sebagai seorang pelajar, tugas anda ialah belajar, bukannya melakukan jenayah" kata beliau.
Umur yang muda tidak sepatutnya dikotori dengan rekod jenayah, kerana di dalam negara ini ada tapisan polis dibuat bagi sesaorang yang memohon pekerjaan dan sebagainya. Jangan nanti kerana kesalahan yang dibuat hari ini akan menjejaskan masa depan pelajar sendiri.


Ingatlah, anda semua adalah harapan keluarga, oleh itu belajarlah dengan bersungguh-sungguh, katanya. "Hormati orang tua dan guru-guru dan orang yang lebih tua dari kita. Jangan buat perkara yang salah yang boleh menurunkan nama baik sekolah, jelasnya.